Sungguhpun saiznya kecil, namun Singapura bermegah dengan salah sebuah angkatan tentera yang tercanggih di Asia Tenggara. Kementerian Pertahanan (MINDEF) bertanggungjawab menyelia Angkatan Bersenjata Singapura yang terdiri daripada Tentera Singapura, Angkatan Laut Republik Singapura, dan Angkatan Udara Republik Singapura, di samping beberapa kompeni sukarelawan persendirian yang memainkan peranan pembantu.
Angkatan bersenjata Singapura berperanan utama sebagai alat pencegahan penceroboh serta menyediakan bantuan kemanusiaan kepada negara lain. Singapura juga menjalin pakatan pertahanan bersama beberapa negara lain, khususnya Perjanjian Pertahanan Lima Negara. Singapura juga membuka tempat latihan yang menyeluruh di luar negara, di Amerika Syarikat, Australia, Republik China (Taiwan), New Zealand, Perancis, Thailand, Brunei, India dan Afrika Selatan.
Sejak tahun 1980, konsep dan strategi "Pertahanan Mutlak" (Total Defence) telah dilaksanakan dalam segala aspek keselamatan, bertujuan memperkuat Singapura untuk menghadapi segala jenis ancaman.
Undang-undang Singapura mewajibkan setiap warganegara lelaki dan penduduk tetap (generasi kedua) Singapura yang tegap dan sihat untuk menjalani Khidmat Negara (National Service) selama dua tahun sekurang-kurangnya, sebaik sahaja mencecah usia 18 tahun atau menghabiskan pengajiannya (yang mana sahaja dahulu), tetapi boleh diberi pelepasan atas sebab-sebab perubatan atau lain-lain.
Selepas berkhidmat selama dua tahun, setiap warga lelaki dianggap sedia beroperasi, dan juga wajib menunaikan tanggungjawab sebagai perajurit simpanan sehingga usia 40 tahun (50 tahun untuk pegawai bertauliah).
Warga yang sihat dari segi perubatan juga mesti menjalani Ujian Kecekapan Fizikal Individu (Individual Physical Proficiency Test, IPPT) setiap tahun dalam program latihan mereka. Lebih 350,000 orang lelaki berkhidmat sebagai perajurit yang sedia beroperasi yang ditugaskan kepada unit tempur simpanan, dan 72,500 orang lagi membentuk kor khidmat negara dan biasa.
Kejadian pengganasan dan perang luar biasa yang makin menjadi-jadi telah menekankan lagi aspek pertahanan bukan tentera. Kontinjen Gurkha dalam Angkatan Polis Singapura, juga merupakan sebuah angkatan pencegah keganasan.
Pada tahun 1991, kejadian rampasan kapal terbang Penerbangan Singapore Airlines 117 berkesudahan dengan serbuan oleh Angkatan Operasi Khas Singapura (``Special Operation Forces``, SOF), diikuti kematian keempat-empat perampas tanpa kecederaan mana-mana penumpang atau anggota SOF.
Antara yang merisaukan keselamatan negara ialah Jemaah Islamiyah, sebuah kumpulan militan Islamiah yang pernah cuba menyerang Suruhanjaya Tinggi Australia tetapi dipatahkan jua pada tahun 2001.
Sumber pertahanan Singapura pernah digunakan dalam misi bantuan kemanusiaan antarabangsa, termasuk tugasan pengamanan PBB di 11 negara lain.
Pada September 2005, Angkatan Udara Republik Singapura menghantar tiga buah helikopter CH-47 Chinook ke Louisiana untuk membantu operasi bantuan Taufan Katrina. Ekoran kejadian tsunami Asia 2004, SAF menghantar kereta kebal dan helikopter untuk membantu operasi bantuan kepada negara-negara yang terjejas.
0 comments:
Post a Comment