Hubungan Luar

Singapura menjalin hubungan diplomatik dengan 175 negara, namun tidak membuka suruhanjaya tinggi atau kedutaan di kebanyakan negara tersebut. Ia menganggotai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Negara-negara Komanwel, ASEAN dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali. Atas sebab-sebab geografi yang nyata, hubungan dengan Malaysia dan Indonesia adalah penting sekali, tetapi politik dalam negara-negara tersebut boleh mengganggu hubungan tersebut.

 Singapura juga menikmati hubungan erat dengan kebanyakan negara Eropah, seperti Perancis, Jerman dan United Kingdom. Singapura dan UK berkongsi pertalian menerusi Perjanjian Pertahanan Lima Negara bersama Malaysia, Australia dan New Zealand. Hubungan baik dengan Amerika Syarikat juga dikekalkan kerana negara besar itu dilihat sebagai kuasa penstabil yang mengimbang balas kuasa-kuasa serantau.

Singapura menyokong konsep regionalisme Asia Tenggara serta memainkan peranan besar selaku salah sebuah anggota perintis Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Ia juga menganggotai forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang membuka Sekretariat di Singapura. Singapura juga berhubungan erat dengan Brunei dan mengendali kemudahan latihan Angkatan Darat di situ.

Singapura adalah antara negara terawal yang menjalin hubungan rasmi dengan Republik Rakyat China setelah negara tersebut membuka pintunya pada tahun 1978. Kota singa ini mengiktiraf dasar Satu China yang dikuat kuasa oleh RRC dan menjalin hubungan perdagangan meluas bersama negara itu, biarpun pada masa yang sama menjalin hubungan dengan Republik China di Taiwan.

0 comments:

Post a Comment