Pendidikan

Seperti juga di Malaysia, sistem persekolahan Singapura terdiri daripada enam tahun sekolah rendah, lima tahun sekolah menengah, dan peringkat pengajian tinggi, tetapi tidak mengamalkan sistem persekolahan vernakular. Bahasa Inggeris merupakan bahasa perantaraan semua sekolah di Singapura.

Para pelajar menghadiri sekolah rendah selama enam tahun mulai usia tujuh tahun, sehingga berakhir dengan peperiksaan Primary School Leaving Examination (PSLE). Sekolah rendah mengajar empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Ibunda (Mandarin, Melayu dan Tamil). Semua mata pelajaran diajar dan diperiksa dalam bahasa Inggeris kecuali Bahasa Ibunda yang diajar dan diuji dalam bahasa masing-masing.

Biarpun "Bahasa Ibunda" secara umumnya memaksudkan bahasa pertama, namun dalam sistem pendidikan Singapura, istilah tersebut memaksudkan bahasa kedua atau tambahan kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa pertamanya. Sekolah rendah awam tidak mengenakan yuran persekolahan, tetapi mungkin ada yuran tambahan nominal untuk kemudahan sekolah. Selepas sekolah rendah, pelajar biasanya menghadiri sekolah menengah selama empat hingga lima tahun.

Terdapat pelbagai subjek yang ditawarkan di sekolah menengah, termasuk bahasa Inggeris, bahasa ibunda, geografi, sejarah, matematik asas, matematik tambahan, kimia, fizik, biologi, bahasa Perancis dan bahasa Jepun. Seseorang pelajar lazimnya mengambil tujuh atau lapan mata pelajaran, tetapi tidak kurang juga yang mengambil lebih daripada lapan. Sekali lagi, semua mata pelajaran dalam sekolah menengah diajar dan diuji dalam bahasa Inggeris, kecuali bahasa ibunda iaitu dalam bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil.

Pada akhir sekolah menengah, para pelajar mengambil peperiksaan Singapore-Cambridge GCE 'O' Level, yang mana keputusannya menentukan jenis laluan pendidikan pasca menengah yang boleh dikejar oleh mereka. Yuran sekolah di kebanyakan sekolah menengah awam adalah nominal, iaitu sekitar S$5 selepas subsidi.Namun, terdapat beberapa sekolah menengah swasta yang mengenakan yuran beratus dolar sebulan. Bukan semua pelajar menghadiri sekolah menengah. Ramai juga yang menghadiri institusi pendidikan vokasional seperti Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di mana mereka mengejar sijil vokasional.

Ada juga yang menghadiri Sekolah Sukan Singapura atau sekolah yang ada “Integrated Programme”, di mana mereka memintasi peperiksaan Singapore-Cambridge GCE 'O' Level sepenuhnya. Selepas peperiksaan O Level yang diambil sekitar usia 16 tahun, para pelajar biasanya berdaftar dalam Kolej Rendah (Junior College), Institut Terpusat (Centralised Institute) atau Politeknik. Program dalam Kolej Rendah atau Institut Terpusat berkesudahan dengan peperiksaan GCE A Level selepas dua atau tiga tahun. Terdapat lima politeknik di Singapura, iaitu Politeknik Singapura, Politeknik Ngee Ann, Politeknik Temasek, Politeknik Nanyang dan Politeknik Republik. Politeknik di Singapura ini tidak menawarkan ijazah, sebaliknya pelajar politeknik mengejar diploma dalam tempoh pelajaran tiga tahun.

Terdapat lima buah universiti awam di Singapura: Universiti Kebangsaan Singapura, Universiti Teknologi Nanyang, Universiti Pengurusan Singapura, Universiti Teknologi dan Rekabentuk Singapura dan Institut Teknologi Singapura. Kerajaan telah membina banyak lagi universiti awam pada puluhan tahun lalu dengan harapan menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada 30% setiap kohort.Kursus politeknik dan universiti dikendali dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.

Banyak sekali universiti luar negara yang membuka kampus di Singapura. Antaranya ialah INSEAD, Sekolah Perniagaan Chicago, Universiti New York, Universiti Las Vegas, Technische Universität München, ESSEC dan lain-lain lagi

2 comments:

Anonymous said...

tolong berikan beberapa alamat sekolah menengah harian di singapura...saya ingin membawa pelajar saya melawat ke sekolah tersebut

Unknown said...

Bolehkah guru bersara umur 56 tahun bekerja di Singapura sebagai tenaga pengajar?

Post a Comment