Sejarah

Catatan terawal mengenai petempatan di Singapura adalah dari abad ke-2 Masihi. Pulau ini merupakan kota kara kerajaan Srivijaya dari Sumatera dan pernah dikenali dengan nama Temasek (bandar laut) yang berasal dari bahasa Jawa. Dari abad ke-16 hingga awal abad ke-19, Singapura menjadi wilayah Kesultanan Johor. Pada tahun 1613, petempatan di muara Sungai Singapura dibakar hingga musnah oleh penyerang Portugis, dan dibiarkan begitu sahaja selama dua abad seterusnya.

Pada 29 Januari 1819, Thomas Stamford Raffles mendarat di pulau utama Singapura. Setelah melihat potensinya sebagai pusat perdagangan strategik di Asia Tenggara, Raffles menandatangani perjanjian bersama Sultan Hussein Shah bagi pihak Syarikat Hindia Timur British pada 6 Februari 1819 untuk membangunkan bahagian selatan Singapura sebagai pos perdagangan dan petempatan British.

Singapura kekal dalam penguasaan sebuah kesultanan Melayu, sehingga menjadi jajahan British pada 2 Ogos 1824, apabila John Crawfurd, residen kedua Singapura yang secara rasminya menjadikan seluruh pulau sebagai taklukan British dengan menandatangani perjanjian dengan Sultan Hussein Shah, yang mana Sultan dan Temenggung menyerahkan Singapura kepada Syarikat Hindia Timur British. Pada tahun 1826, ia menjadi sebahagian jajahan British yang dikenali sebagai Negeri-negeri Selat.

Pada tahun 1869, pulau ini didiami oleh 100,000 orang. Bala Tentera Diraja Jepun berarak melalui pusat bandaraya Singapura setelah British menyerah kalah. Pada Perang Dunia Kedua, serangan Tentera Diraja Jepun terhadap Tanah Melayu, memuncak dengan Pertempuran Singapura. Pihak British ditumpaskan dalam masa enam hari, lalu menyerahkan kubu yang kononnya tak tertawan kepada Jeneral Tomoyuki Yamashita pada 15 Februari 1942.

Kejadian ini disifatkan oleh Perdana Menteri British, Winston Churchill sebagai "malapetaka terburuk dan penyerahan terbesar dalam sejarah British". Selepas kejatuhan Singapura, pembunuhan kaum Cina beramai-ramai oleh tentera Jepun meragut 5,000 – 25,000 nyawa. Singapura dinamai semula sebagai Pulau Syonan (昭南島 Shōnantō?), yang membawa maksud “pulau selatan yang diraih pada zaman Shōwa”. Singapura dikuasai oleh Jepun sehingga dirampas balik oleh British pada 12 September 1945, sebulan selepas penyerahan kalah Jepun.

Berikutan perang itu, kerajaan British membenarkan Singapura mengadakan pilihan raya umum pertamanya pada tahun 1955, yang dimenangi oleh calon pro-kemerdekaan, David Marshall, ketua parti Barisan Buruh yang menjadi Ketua Menteri. Demi memenuhi tuntutan pemerintahan sendiri sepenuhnya untuk Singapura, Marshall mengetuai perwakilan ke London, tetapi ditolak oleh British. Beliau meletak jawatan sekembalinya, lalu tempatnya diambil alih oleh Lim Yew Hock, yang melakarkan dasar-dasar yang menawan hati orang British.

Singapura diberi kerajaan sendiri sepenuhnya dengan perdana menteri dan jemaah menteri sendiri yang mentadbir segala hal-ehwal kerajaan kecuali pertahanan dan hubungan luar. Pilihan raya sekali lagi diadakan pada 30 Mei 1959, kali ini pula Parti Tindakan Rakyat menang besar. Akhirnya, Singapura menjadi sebuah negeri berkerajaan sendiri dalam Komanwel pada 3 Jun 1959, dengan Lee Kuan Yew mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pertamanya.Gabenor Singapura ketika itu, Sir William Allmond Codrington Goode, berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Negara pertama sehingga 3 Disember 1959, kemudian diganti oleh was Yusof bin Ishak yang tidak lama kemudian menjadi presiden pertama Singapura.

Singapura secara ekasisi mengisytiharkan kemerdekaan dari Britain pada Ogos 1963,sebelum menyertai Persekutuan Malaysia pada September bersama Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kesan pungutan suara pergabungan Singapura pada tahun 1962. Singapura dikeluarkan dari Persekutuan dua tahun selepas terjadinya konflik ideologi yang hangat antara kerajaan negeri pimpinan PAP dan kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur. Singapura secara rasminya mencapai kedaulatan pada 9 Ogos 1965.

Yusof bin Ishak mengangkat sumpah selaku Presiden, manakala Lee Kuan Yew menjadi perdana menteri pertama Republik Singapura. Pada tahun 1990, Goh Chok Tong mengganti Lee sebagai Perdana Menteri. Sepanjang tempoh jawatannya, negaranya berdepan dengan Krisis Kewangan Asia 1997, wabak SARS 2003, dan ancaman keganasan Jemaah Islamiyah. Pada tahun 2004, Lee Hsien Loong, anak sulung Lee Kuan Yew, menjadi perdana menteri ketiga. Antara keputusan terbesar yang diambilnya ialah rancangan membuka kasino untuk menarik pelancong.

0 comments:

Post a Comment