Demografi

Kependudukan Singapura mencatat peratusan warga luar negara keenam tertinggi di dunia. Kira-kira 42% penduduk Singapura adalah warga asing, dan warga asing mengisi 50% sektor perkhidmatan negara ini. Kebanyakan warga asing berasal dari China, Malaysia, Filipina, Amerika Utara, Timur Tengah, Eropah, Australia, Bangladesh dan India.

Negara ini juga adalah yang kedua paling padat dengan penduduk di belakang Monaco. Menurut statistik kerajaan, jumlah penduduk Singapura pada tahun 2009 adalah 4.99 juta, yang mana 3.2 juta adalah warganegara Singapura yang sebetulnya. Majoriti penduduk Singapura terdiri daripada kaum Cina iaitu 74.2% jumlah penduduk, diikuti Melayu 13.4%, India 9.2%, dan Serani, Arab dan lain-lain 3.2%.

Pada tahun 2009, jumlah kadar kesuburan Singapura adalah 1.22 anak per wanita (1.08 Cina, 1.14 India, 1.82 Melayu), ternyata jauh di bawah paras 2.10 yang diperlukan untuk menyilih penduduk secukupnya. Pada tahun 2008, 39,826 bayi dilahirkan di sini, berbanding sekitar 37,600 pada tahun 2005, namun bilangan itu tidak memadai untuk menampung pertumbuhan penduduk.

Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan menggalakkan warga asing berhijrah ke Singapura. Keramaian penghijrah asing ini telah memastikan jumlah penduduk Singapura tidak merosot. Agama Buddha paling ramai penganutnya di Singapura, iaitu 42.5% penduduk negara yang mengaku sebagai penganutnya dalam banci terkini. Biara dan pusat Dharma dari ketiga-tiga aliran Buddha (Theravada, Mahayana dan Vajrayana) mudah terdapat di Singapura. Kebanyakan penganut Buddha di Singapura berketurunan Cina dan mengikut aliran Mahayana.

0 comments:

Post a Comment