Bahasa

Kerajaan Singapura mengiktiraf empat bahasa rasmi, iaitu Inggeris, Melayu, Cina (Mandarin), dan Tamil. Bahasa Inggeris adalah yang paling dominan di Singapura, tidak seperti negara jirannya di Malaysia dan Indonesia yang dikuasai oleh bahasa Melayu. Bahasa Inggeris di Singapura ada pelbagai ragamnya, baik bahasa Inggeris piawai mahupun bahasa kriol berasaskan Inggeris yang dikenali sebagai “Singlish”.

Di kalangan rakyat Singapura, bahasa Inggeris paling ramai penuturnya, diikuti oleh bahasa Mandarin, Melayu dan Tamil. Ejaan dan perbendaharaan kata yang diterima guna berasaskan bahasa Inggeris British,tetapi ada sedikit kelainan, seperti kegunaan pants (dari Amerika, “seluar panjang”) yang jauh mengatasi trousers (dari British).Penggunaan bahasa Inggeris begitu meluas di Singapura selepas tahun 1965, sejak pelaksanaan bahasa itu sebagai bahasa perantara utama dalam sistem pendidikan Singapura. Di sekolah, anak-anak diwajibkan mempelajari bahasa Inggeris dan satu daripada tiga bahasa rasmi lain sebagai bahasa ibunda.

Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan atas sebab sejarah dan simbolik,dan menjadi bahasa pertuturan utama masyarakat Melayu Singapura. Bahasa Melayu digunakan dalam lagu kebangsaan, "Majulah Singapura", pencetakan duit syiling daan perintah tentera. Namun demikian, kira-kira 85% rakyat Singapura tidak berbahasa Melayu. Penggunaan Bahasa Mandarin juga meluas di Singapura, hasil kempen dan usaha awam tajaan kerajaan untuk menyokong penerimaan bahasa Mandarin sebagai ganti untuk loghat-loghat Cina yang lain.

Bahasa Tamil pula dipertuturkan oleh kira-kira 60% masyarakat India Singapura, atau 5% seluruh rakyat Singapura. Bahasa-bahasa India yang lain seperti Malayalam, Telugu dan Hindi turut digunakan oleh segelintir penduduk India di Singapura.

0 comments:

Post a Comment