Info Keseluruhan Singapura

Sejarah

Catatan terawal mengenai petempatan di Singapura adalah dari abad ke-2 Masihi. Pulau ini merupakan kota kara kerajaan Srivijaya dari Sumatera dan pernah dikenali dengan nama Temasek (bandar laut) yang berasal dari bahasa Jawa. Dari abad ke-16 hingga awal abad ke-19, Singapura menjadi wilayah Kesultanan Johor. Pada tahun 1613, petempatan di muara Sungai Singapura dibakar hingga musnah oleh penyerang Portugis, dan dibiarkan begitu sahaja selama dua abad seterusnya.

Pada 29 Januari 1819, Thomas Stamford Raffles mendarat di pulau utama Singapura. Setelah melihat potensinya sebagai pusat perdagangan strategik di Asia Tenggara, Raffles menandatangani perjanjian bersama Sultan Hussein Shah bagi pihak Syarikat Hindia Timur British pada 6 Februari 1819 untuk membangunkan bahagian selatan Singapura sebagai pos perdagangan dan petempatan British.

Singapura kekal dalam penguasaan sebuah kesultanan Melayu, sehingga menjadi jajahan British pada 2 Ogos 1824, apabila John Crawfurd, residen kedua Singapura yang secara rasminya menjadikan seluruh pulau sebagai taklukan British dengan menandatangani perjanjian dengan Sultan Hussein Shah, yang mana Sultan dan Temenggung menyerahkan Singapura kepada Syarikat Hindia Timur British. Pada tahun 1826, ia menjadi sebahagian jajahan British yang dikenali sebagai Negeri-negeri Selat.

Pada tahun 1869, pulau ini didiami oleh 100,000 orang. Bala Tentera Diraja Jepun berarak melalui pusat bandaraya Singapura setelah British menyerah kalah. Pada Perang Dunia Kedua, serangan Tentera Diraja Jepun terhadap Tanah Melayu, memuncak dengan Pertempuran Singapura. Pihak British ditumpaskan dalam masa enam hari, lalu menyerahkan kubu yang kononnya tak tertawan kepada Jeneral Tomoyuki Yamashita pada 15 Februari 1942.

Kejadian ini disifatkan oleh Perdana Menteri British, Winston Churchill sebagai "malapetaka terburuk dan penyerahan terbesar dalam sejarah British". Selepas kejatuhan Singapura, pembunuhan kaum Cina beramai-ramai oleh tentera Jepun meragut 5,000 – 25,000 nyawa. Singapura dinamai semula sebagai Pulau Syonan (昭南島 Shōnantō?), yang membawa maksud “pulau selatan yang diraih pada zaman Shōwa”. Singapura dikuasai oleh Jepun sehingga dirampas balik oleh British pada 12 September 1945, sebulan selepas penyerahan kalah Jepun.

Berikutan perang itu, kerajaan British membenarkan Singapura mengadakan pilihan raya umum pertamanya pada tahun 1955, yang dimenangi oleh calon pro-kemerdekaan, David Marshall, ketua parti Barisan Buruh yang menjadi Ketua Menteri. Demi memenuhi tuntutan pemerintahan sendiri sepenuhnya untuk Singapura, Marshall mengetuai perwakilan ke London, tetapi ditolak oleh British. Beliau meletak jawatan sekembalinya, lalu tempatnya diambil alih oleh Lim Yew Hock, yang melakarkan dasar-dasar yang menawan hati orang British.

Singapura diberi kerajaan sendiri sepenuhnya dengan perdana menteri dan jemaah menteri sendiri yang mentadbir segala hal-ehwal kerajaan kecuali pertahanan dan hubungan luar. Pilihan raya sekali lagi diadakan pada 30 Mei 1959, kali ini pula Parti Tindakan Rakyat menang besar. Akhirnya, Singapura menjadi sebuah negeri berkerajaan sendiri dalam Komanwel pada 3 Jun 1959, dengan Lee Kuan Yew mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pertamanya.Gabenor Singapura ketika itu, Sir William Allmond Codrington Goode, berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Negara pertama sehingga 3 Disember 1959, kemudian diganti oleh was Yusof bin Ishak yang tidak lama kemudian menjadi presiden pertama Singapura.

Singapura secara ekasisi mengisytiharkan kemerdekaan dari Britain pada Ogos 1963,sebelum menyertai Persekutuan Malaysia pada September bersama Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kesan pungutan suara pergabungan Singapura pada tahun 1962. Singapura dikeluarkan dari Persekutuan dua tahun selepas terjadinya konflik ideologi yang hangat antara kerajaan negeri pimpinan PAP dan kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur. Singapura secara rasminya mencapai kedaulatan pada 9 Ogos 1965.

Yusof bin Ishak mengangkat sumpah selaku Presiden, manakala Lee Kuan Yew menjadi perdana menteri pertama Republik Singapura. Pada tahun 1990, Goh Chok Tong mengganti Lee sebagai Perdana Menteri. Sepanjang tempoh jawatannya, negaranya berdepan dengan Krisis Kewangan Asia 1997, wabak SARS 2003, dan ancaman keganasan Jemaah Islamiyah. Pada tahun 2004, Lee Hsien Loong, anak sulung Lee Kuan Yew, menjadi perdana menteri ketiga. Antara keputusan terbesar yang diambilnya ialah rancangan membuka kasino untuk menarik pelancong.

Politik

Singapura ialah sebuah republik berparlimen yang mengamalkan parlimen ekadewan berlandaskan sistem Westminster, yang mewakili pelbagai kawasan pemilihan. Perlembagaan Singapura menetapkan demokrasi berperwakilan sebagai sistem politik negara.

Parti Tindakan Rakyat (PEITR atau PAP) berjaya menguasai Parlimen di setiap pilihan raya sejak negara mula memerintah sendiri pada tahun 1959. Sebahagian besar kuasa ekesekutif terletak pada kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri. Jawatan Presiden Singapura yang asalnya berbentuk istiadat, diberi sedikit kuasa veto pada tahun 1991 untuk beberapa keputusan penting seperti penggunaan rizab negara dan pelantikan jawatan kehakiman.

Cabang perundangan kerajaan tak lain tak bukan Parlimen. Pilihan raya parlimen di Singapura berlandaskan pluraliti untuk kawasan pemilihan perwakilan berkumpulan sejak pindaan Akta Pilihan Raya Parlimen pada tahun 1991. Ahli-Ahli Parlimen (MP) terdiri daripada ahli-ahli yang terpilih, tanpa kawasan undi dan dicalon. Majoriti MP ini dipilih menerusi Pilihan Raya Umum berasaskan sistem pemenang undi terbanyak, dan mewakili Kawasan Ahli Tunggal (Single Member Constituencies, SMC) atau Perwakilan Berkumpulan (Group Representation Constituencies, GRC).

Singapura tekal menjaga maruahnya di antara negara yang paling kurang amalan rasuah di dunia oleh Transparency International. Sungguhpun diwarisi dari penjajahan Inggeris, dan banyak menerapkan unsur-unsur undang-undang am Inggeris, namun undang-undang Singapura nampaknya sudah menyimpang dari tradisi itu sejak merdeka. Misalnya, sistem perbicaraan juri dimansuhkan.

Antara undang-undang dan hukuman Singapura termasuk hukuman dera kehakiman dalam bentuk merotan untuk kesalahan seperti rogol, keganasan, rusuhan, salah guna dadah, perosakan harta awam, dan beberapa kesalahan imigresen. Singapura juga mengenakan hukuman mati mandatori untuk pembunuhan darjah pertama dan pengedaran dadah. Amnesty International menganggarkan bahawa Singapura mungkin mencatat “kadar hukuman mati berbanding jumlah penduduk terbesar di dunia”.Pihak kerajaan bertegas bahawa Singapura selaku negara berdaulat berhak untuk menentukan sistem kehakiman sendiri dan mengenakan hukuman yang setimpal seperti yang dirasainya

Geografi

Singapura terdiri daripada 63 pulau, termasuk sekali tanah besar Singapura. Pulau besar dikenali ramai sebagai Pulau Singapura (Singapore Island) tetapi nama rasminya ialah Pulau Ujong. Terdapat dua sambungan buatan manusia ke negeri Johor, Malaysia, iaitu Tambak Johor-Singapura di utara, dan Laluan Kedua Tuas di barat. Pulau Jurong, Pulau Tekong, Pulau Ubin dan Sentosa merupakan pulau-pulau kecil terbesar di Singapura. Puncak semula jadi tertingginya ialah Bukit Timah pada aras 166 m (545 ka).

Singapura menjalankan projek penebusgunaan tanah yang diperoleh dari bukit-bukau, dasar laut, dan negara jiran. Hasilnya, keluasan daratan Singapura membesar dari 581.5 km2 (224.5 batu²) pada 1960-an, kepada 704 km2 (271.8 batu²) pada masa kini, dan mungkin menokok 100 km2 (38.6 batu²) lagi pada tahun 2030. Adakalanya, projek-projek sebegini melibatkan penggabungan pulau-pulau kecil secara penebusgunaan tanah untuk membentuk pulau yang lebih besar dan berguna, misalnya Pulau Jurong.

Iklim

Mengikut sistem pengelasan iklim Köppen, Singapura mengalami iklim iklim hutan hujan tropika tanpa peralihan musim yang ketara, suhu dan tekanan yang setara, kelembapan tinggi, dan curahan hujan yang lebat. Suhunya adalah di antara 22 hingga 34 °C (71.6 to 93.2 °F). Purata kelembapan relatifnya sekitar 90% pada waktu pagi dan 60% pada waktu petang. Ketika hujan lebat berpanjangan, kelembapan relatif sering mencapai 100%. Suhu terendah dan tertinggi yang tercatat sepanjang sejarah maritim adalah 19.4 °C (66.9 °F) dan 35.8 °C (96.4 °F).

Bulan Mei dan Jun paling panas sekali, manakala November dan Disember membentuk musim monsun tengkujuh. Dari bulan Ogos hingga Oktober, Singapura kerap mengalami jerebu kesan kebakaran hutan di negara jiran Indonesia, adakalanya cukup teruk untuk mengancam amaran kesihatan awam. Jangka waktu siang di Singapura lebih kurang sekata sepanjang tahun kerana kedudukan negara yang dekat dengan Khatulistiwa.

Kira-kira 23% kawasan darat Singapura terdiri daripada kawasan simpanan hutan dan alam semula jadi. Proses pembandaran telah menghapuskan kebanyakan kawasan hutan hujan, sehingga tinggal Hutan Simpanan Bukit Timah sebagai satu-satunya hutan asal di negara. Di Singapura terdapat sebilangan taman alam, seperti Taman Botanik Singapura.

Ekonomi

Singapura mengamalkan ekonomi pasaran yang cukup maju, yang selama ini berkisar pada perdagangan entrepôt yang luas. Di samping Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan, Singapura ialah salah satu daripada Empat Harimau Asia. Ekonominya amat bergantung pada eksport dan perhalusan barang import, terutamanya dalam bidang perkilangan, yang membentuk 26% KDNK Singapura pada tahun 2005, tetapi tidak dilupakan juga sumbangan besar dari sektor elektronik, penapisan petroleum, kimia, kejuruteraan mekanik dan sains bio-perubatan.

Pada tahun 2006, Singapura menghasilkan kira-kira 10% keluaran wafer faundri sedunia.[58] Singapura juga bertuah dengan salah sebuah pelabuhan tersibuk di dunia dan pusat perdagangan tukaran asing keempat terbesar di dunia, di belakang London, New York dan Tokyo. Singapura dinilai oleh World Bank sebagai pusat logistik terunggul di dunia. Singapura diletakkan dalam senarai sepuluh ekonomi paling terbuka,kompetitif dan inovatif di dunia.

Dinilai sebagai ekonomi yang paling mesra perniagaan di dunia,[65][66] Singapura menyambut beratus-ribu ekspatriat dari luar negara yang bekerja dalam syarikat multinasional, di samping mengambil kerja beratus-ribu lagi buruh kasar asing. Pemandangan Singapore Central Business District (CBD)Singapura memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST) dengan kadar permulaan 3% pada 1 April 1994, untuk menambah S$1.6 bilion (US$1b, €800m) lagi kepada dana kerajaan, sekaligus menstabilkan kewangan kerajaan. Kadar GST yang boleh dicukai dinaikkan ke 4% pada tahun 2003, 5% pada tahun 2004, dan 7% pada 1 Julai 2007

Pengangkutan

Singapura ialah sebuah hab pengangkutan antarabangsa utama di Asia yang letaknya di persilangan laluan perdagangan laut dan udara. Pelabuhan Singapura yang diurus oleh pengendali pelabuhan, PSA International dan Jurong Port, merupakan pelabuhan kedua tersibuk di dunia pada tahun 2005, dari segi jumlah berat hantaran pada 1.15 bilion tan kasar, dan dari segi lalu lintas berkontena pada 23.2 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).

Selain itu, Pelabuhan Singapura adalah yang tersibuk di dunia bagi lalu lintas pemunggahan, dan juga pusat pengisian semula bahan api kapal terbesar di dunia. Sebuah tren di Stesen MRT Eunos dalam sistem Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (MRT), satu daripada tiga laluan pengangkutan penumpang massa di Singapura. Singapura merupakan hab penerbangan untuk rantau Asia Tenggara dan sebuah perhentian di laluan Kanggaru di antara Australasia dan Eropah.

Lapangan Terbang Changi Singapura mempunyai serangkaian 80 sistem penerbangan yang menghubungkan Singapura dengan 200 bandaraya di 68 negara. Ia pernah dinilai sebagai salah sebuah lapangan terbang antarabangsa terbaik di dunia oleh majalah-majalah pelancongan antarabangsa, termasuk dinobatkan sebagai lapangan terbang terbaik buat julung kalinya pada tahun 2006 oleh Skytrax.

Kini, lapangan terbang ini ada tiga terminal penumpang, dan sebuah penumpang bajet yang memberi kemudahan kepada Tiger Airways dan Cebu Pacific. Sistem penerbangan negara ialah Singapore Airlines (SIA). Lapangan Terbang Changi diswastakan pada tahun 2009 dan kini milik mutlak Changi Airport Group. Prasarana pengangkutan domestik menyediakan sistem jalan raya yang menyeluruh di seluruh pulau, termasuk satu rangkaian lebuh raya ekspres. Sistem jalan raya awam dipermudah oleh perkhidmatan bas negara dan sebilangan syarikat pengendali teksi berlesen.

Sistem tren alihan massa utama negara, iaitu Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (Mass Rapid Transit, MRT) beroperasi sejak tahun 1987. Sistem MRT ini dilengkapkan lagi dengan Sistem Rel Ringan (Light Rail Transit, LRT) untuk memperluas capaian kepada kawasan perumahan. Sistem EZ-Link yang dilancarkan pada tahun 2001 membolehkan kad pintar tanpa sentuh berfungsi sebagai tiket nilai simpanan untuk digunakan dalam sistem pengangkutan awam di Singapura.